Netizen kecam Harith Iskander mengenai isu 'Ham'

Wartawan BH
Tangkap layar kiriman Harith Iskander dan komen Cecilia Yap.
Tangkap layar kiriman Harith Iskander dan komen Cecilia Yap.
KUALA LUMPUR: Hantaran terbaharu di media sosial oleh pelakon dan pelawak, Harith Iskandar yang cuba membuat jenaka menggunakan topik ham, baru-baru ini mengundang kecaman netizen terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Bersama hantaran itu, Harith turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.

Gambar itu dipercayai diambil dari gambar senarai menu kopi yang dijual premis rangkaian jualan minuman kopi tempatan yang berniaga menggunakan trak makanan.

Semakan BH di Facebook selebriti itu yang mempunyai satu juta pengikut, mendapati hantaran terbabit dimuat naik pada Sabtu lalu.

"Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara".

"Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan 'ham' di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?

"Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?", tulisnya dalam hantaran itu yang disudahi emoji wajah tertawa hingga keluar air mata.

Tinjauan di ruangan komen, BH mendapati ia dibanjiri ribuan komen daripada kalangan netizen yang rata-rata tersinggung dengan hantaran berkenaan dan menyifatkan hantaran Harith itu sebagai gurauan yang tidak kena cara kerana ia membabitkan isu umat Islam.

Harith Iskandar, tidak semua jenaka itu kelakar, contohnya yang ini. Saya percaya, ramai rakyat Malaysia tidak kira sama ada mereka berbangsa Cina, India, atau Melayu, masih menghormati satu sama lain dan agama masing-masing (walaupun seorang ateis). Hanya segelintir sahaja yang tidak mempunyai sensitiviti.

Netizen nasihat jangan tunggang isu sensitif untuk jenaka

Jadi, jangan 'tunggang' isu sensitif untuk dijadikan bahan jenaka. Anda sebenarnya hanya menyebarkan kebencian dan membuat diri anda kelihatan tidak matang, komen seorang pengguna Facebook, Jejak Air Tawar.

Muhd Faez pula dalam komennya menulis Sorry (maaf) bro. Kalau bab agama jangan nak buat lawak bro. Sumpah tak kelakar langsung. Kalau bro nak jadi liberal sangat tak payah nak ajak orang sama.

Malaysia adalah sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian, kebaikan, dan toleransi. Namun, kita kekurangan kematangan.

Sebagai seorang yang bijak dan juga lebih berusia, anda seharusnya bertindak dengan lebih matang. Keadaan sudah tegang, dan sebagai seorang selebriti, anda boleh menjadi jambatan untuk meredakan keadaan.

Malangnya, anda memilih untuk menunggang isu ini dan membuat hantaran provokatif seperti ini. Ini bukanlah liberal, mahupun berfikiran terbuka. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal, komen Hasani N Ashikeen.

Dalam pada itu, ada juga dalam kalangan netizen yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan berhubung hantaran itu.

Ramai minta polis siasat

Di samping itu, ada juga dalam kalangan segelintir netizen dalam komen mereka mengatakan bahawa hantaran itu sebagai jenaka sindiran yang tidak perlu diperbesarkan.

Setakat jam 3.30 petang semalam, hantaran berkenaan menerima maklum balas dengan lebih 8,000 komen, selain lebih 9,000 tanda suka, marah dan ketawa serta lebih 1,000 hantar semula.

Dalam pada itu, setakat jam 7 malam tadi usaha menghubungi Harith Iskander untuk mengulas belum berhasil.

Cikgu Fadli gesa lapor polis terhadap Cecelia Yap yang didakwa hina Nabi

Sementara itu, bekas guru yang juga aktivis isu pendidikan, Mohd Fadli Salleh, menggesa mana-mana pihak untuk tampil membuat laporan polis berhubung hantaran Harith serta akaun Facebook yang menggunakan nama Cecelia Yap Song KL.

Fadli dalam hantaran di Facebook pada Sabtu lalu, turut memuat naik tangkap layar hantaran Harith serta Cecilia dalam komennya dalam satu hantaran lain berkait isu ham yang didakwa menghina nama Nabi Muhammad SAW.

"Harap ada report polis ke atas Harith Iskander dan @Cecelia Yap Song KL". Makin melampau nampak, tulisnya dalam hantaran itu.
Kenyataan GPMS Kedah
Kenyataan GPMS Kedah
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Kedah pula dalam satu kenyataan, Sabtu lalu pula menyifatkan hantaran Harith berhubung isu ham itu sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan langsung tidak lucu.

Selain itu, terdapat komen biadab daripada seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Cecelia Yap Song KL yang menulis, "All names with MoHAMmad got to be renamed then."

Tindakan ini adalah penghinaan terhadap nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seorang insan yang sangat mulia di sisi Allah.

Komentar seperti ini amat dikesali kerana boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia, katanya.

Tambah kenyataan itu, sebagai sebuah negara yang hidup dalam masyarakat harmoni dan berbilang kaum, GPMS Negeri Kedah menggesa PDRM mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu berkenaan bagi memastikan tiada lagi ruang untuk penghinaan seperti ini berulang.

GPMS Negeri Kedah juga meminta kerajaan agar meningkatkan usaha untuk mengawal penyebaran sentimen sensitif yang menghina agama dan bangsa, terutamanya di platform media sosial, yang kini semakin tidak terkawal.

Kami akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak-pihak yang terbabit, katanya.

Semakan di media sosial bagaimanapun mendapati komen Cecelia Yap sudah dipadamkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan