6 pegawai kastam antara direman disyaki sekongkol seludup vape

FMT Reporters

Sindiket seludup vape tumpas selepas operasi SPRM sekitar KLIA dan ibu negara semalam.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.
PETALING JAYA: Pegawai kastam dan pengarah syarikat direman selepas disyaki bersekongkol sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sindiket itu ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam.

Sumber berkata, dalam operasi dinamakan Op Airways hasil intipan Bahagian Perisikan SPRM selama tiga bulan, enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan.

Katanya, SPRM menahan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA dan serentak itu, serbuan besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat tersebut.

“Hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menemui 32,000 vape dianggarkan cukai bernilai RM1.9 juta di dalam lori yang ditahan,” katanya.

Dalam pada itu, hasil serbuan di salah sebuah gudang menemui 90,000 unit vape dianggarkan cukai bernilai RM5.4 juta yang tidak dibayar pada JKDM.

“Di sebuah gudang lagi, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit tidak dibayar cukai pada JKDM.
Barangan yang dirampas SPRM dalam serbuan semalam.
“Setakat ini, hasil serbuan mendapati negara kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta, di mana kandungannya juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna,” kata sumber.

Sumber berkata, hasil intipan semua vape yang diseludup langsung tidak diikrarkan dan tiada sebarang dokumen dicatatkan.

Katanya, ia menyerupai modus operandi ‘kontena terbang’ dan pegawai penguat kuasa yang bertugas didapati menerima ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau pemeriksaan.

SPRM turut menyita wang berjumlah kira-kira RM250,000 dan empat jam tangan, tujuh anting-anting, seutas rantai, tiga gelang tangan, dua cincin, satu pouch, dua beg tangan wanita, seutas tali pinggang, satu unit pemacu keras, satu unit monitor, dua unit pemprosesan pusat (CPU) dan dua lori.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu yang ditahan direman empat hari hingga 25 Jan.

Seorang lagi pengarah syarikat direman lima hari hingga 26 Jan, manakala seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Semua 14 suspek iaitu 12 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an ditahan antara 8 malam semalam hingga 1 pagi tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan