Tampar kakitangan Puspakom, warga emas didenda RM1,600

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
KOH Soon Hua didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan kakitangan Puspakom, minggu lalu. FOTO Izz Laily Hussein
KOH Soon Hua didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan kakitangan Puspakom, minggu lalu. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Koh Soon Hua, 60, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib di Puspakom Jalan Bertam 23 di sini, jam 5.40 petang, 18 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana tidak lagi bekerja dan hidup ditanggung sepenuhnya oleh anak lelakinya, selain turut mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif.

Pada 16 Januari lalu, media melaporkan, hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom, seorang lelaki bertindak menampar seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru, November lalu.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom di Taman Daya di sini, sebelum tular di media sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan