Dua anggota polis maut ditembak

BERNAMA
Pasukan penyiasat menjalankan siasatan terhadap serangan bersenjata yang membunuh dua anggota polis di Yarang, Pattani malam tadi.
Pasukan penyiasat menjalankan siasatan terhadap serangan bersenjata yang membunuh dua anggota polis di Yarang, Pattani malam tadi.
Pattani: Dua anggota polis yang bertugas maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata pada Rabu di Yarang, Pattani, selatan Thailand.

Ketua Polis Daerah Yarang Kolonel Polis Warin Wangthongchai berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam waktu tempatan, dua anggota polis masing-masing berusia 23 dan 35 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira 500 meter dari balai polis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang sedang melakukan rondaan ditembak empat lelaki bersenjata dari jarak dekat," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut menemukan empat kelongsong peluru di tempat kejadian yang dipercayai digunakan oleh suspek, manakala pistol milik mangsa turut dilarikan oleh kumpulan itu.

Mayat kedua-dua anggota polis dihantar ke Hospital Yarang untuk proses bedah siasat.

Motif serangan masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat menjejaki suspek di kawasan sekitar, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan