Kes bunuh suami isteri, Man Tiger mengaku tidak bersalah

Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
MAN Tiger ketika tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen di Kluang Johor diiringi anggota polis. FOTO  Mohamad Fahd Rahmat.
MAN Tiger ketika tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen di Kluang Johor diiringi anggota polis. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
Kluang: Lelaki yang dikenali sebagai Man Tiger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan cubaan membunuh suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini, 10 Februari lalu.

Tertuduh atau nama sebenarnya Abdurrahman Abdullah, 33, mengaku faham dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas melepaskan tembakan terhadap Dian Yulandi Suboh, 37 di di TL 17, Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam jam 12.17 tengah hari, pada 10 Februari lalu.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas pada tarikh, masa dan alamat sama melepaskan tembakan terhadap Ahmad Fadhullah Mohamed, 38.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda untuk satu pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Suniza Nan Yan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Kent Tan Chow Teng.

Pendakwa berhujah supaya tertuduh tidak diberikan jaminan kerana kesalahan serius dilakukan membabitkan penggunaan senjata api, selain insiden tular di media sosial.

Kent Tan turut memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah kerana tertuduh hanya pekerja katering yang menjaga saudara yang uzur dan menanggung kakak sendiri.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan oleh hakim kerana kes membabitkan kepentingan masyarakat dan masih ada kes lain dihadapi tertuduh yang masih berjalan.

Mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula di mahkamah sama dan penyerahan dokumen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan