Liverpool: Keputusan seri berturut-turut dengan Everton dan Aston Villa membuat Liverpool semakin tertekan

AFP

London: Perlumbaan Liverpool ke arah kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin perlahan menjelang pertembungan getir dengan Manchester City Isnin ini, sekali gus membuka ruang kepada Arsenal untuk merapatkan jurang.

The Gunners berpeluang mengurangkan defisit kepada lima mata jika berjaya menewaskan West Ham di Emirates.

Di belakang dua pencabar utama, persaingan untuk slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan semakin sengit dengan hanya enam mata memisahkan Nottingham Forest di tempat ketiga dan Newcastle di tangga ketujuh sebelum kedua-duanya bertemu di St James' Park.

Skuad kendalian Arne Slot sebelum ini dilihat selesa menuju ke kejuaraan liga ke-20 mereka.

Namun, dua keputusan seri berturut-turut dengan Everton dan Aston Villa (2-2) dalam tempoh 10 hari terakhir menghidupkan kembali saingan kejuaraan.

Bagaimanapun, City turut mengalami kekecewaan besar apabila tersingkir awal di UCL selepas dimalukan Real Madrid.

Ia kali pertama mereka tersingkir sebelum peringkat 16 terbaik sejak musim 2012/13.

Lebih membimbangkan, City mungkin kehilangan khidmat Erling Haaland yang mengalami kecederaan dan tidak beraksi ketika bertemu Real di Santiago Bernabeu.

Namun, skuad kendalian Pep Guardiola tetap berbahaya seperti yang ditunjukkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Newcastle minggu lalu.

"Mereka hanya melalui satu atau dua bulan yang sukar dalam tujuh atau lapan tahun Guardiola di sana," kata Slot.

"Kecederaan kembali pulih, mereka menandatangani beberapa pemain, dan saya melihat mereka semakin kuat berdasarkan keputusan menentang Newcastle."

Arsenal pula berpeluang memberikan tekanan lebih awal apabila turun menentang West Ham sehari sebelum pertembungan Liverpool dan City.

Skuad kendalian Mikel Arteta akan beraksi tanpa penyerang utama untuk baki musim ini tetapi masih berjaya mengumpul 23 mata daripada 27 yang tersedia bagi mengekalkan cabaran kejuaraan.

Slot bagaimanapun menegaskan Liverpool hanya perlu fokus kepada perlawanan sendiri.

"Jika kami sentiasa melihat Arsenal atau pasukan lain, itu tidak akan membantu kami," katanya.

"Kami sudah tahu betapa sukarnya beraksi di Etihad, jadi kami tidak perlu Arsenal menambahkan tekanan lagi."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan