Pembantu rumah kikis harta majikan hingga boleh beli kereta

Agensi

Jakarta: Seorang pembantu rumah Indonesia mengikis harta majikannya selama bertahun hingga mampu membeli kereta dan dihadiahkan kepada rakan sejenayahnya.

Wanita itu juga didakwa mengirimkan wang kepada keluarganya hasil jenayah terbabit, menurut polis Penjaringan Metro, Jakarta Utara yang dilapor Kompas.

Polis berkata, wanita itu digelar K berusia 52 tahun, bekerja di sebuah rumah di Taman Grisenda di daerah Penjaringan, bersama rakan subahat iaitu pemandu digelar G berusia 28 tahun.

Mereka disyaki sudah lama mencuri harta majikan, khususnya wang dan barang kemas yang nilainya mencecah 800 juta rupiah (kira-kira RM240,00).

Kedua-duanya berjaya ditahan baru-baru ini susulan laporan daripada mangsa pada pertengahan tahun 2024 selepas mengesan wang dalam peti besinya kerap hilang.

"Dua suspek itu berkomplot mencuri wang tunai dan barang kemas milik majikan yang kerugiannya mencecah 800 juta rupiah (RM240,000)," kata jurucakap polis, Arief Ryzki seperti dilaporkan Antara.

Suspek utama adalah pembantu rumah yang mencuri mata wang asing, kemudian diberikan kepada pemandu untuk ditukarkan kepada mata wang rupiah.

"Daripada pengakuan kedua-dua suspek, mereka sudah 10 kali menukar wang itu di pengurup wang dan ia digunakan untuk keperluan harian selain dihantar ke kampung halaman," kata polis.

Tidak hanya itu, suspek wanita juga membelikan sebuah kereta buat pemandu terbabit yang berharga 80 juta rupiah (RM24,000) menggunakan wang haram berkenaan.

"Kereta ini sudah kami jadikan barang bukti," katanya, yang menambah tiada hubungan istimewa antara kedua-dua suspek sebaliknya hanya rakan sekerja.

Penahanan berdasarkan siasatan polis di rumah berkenaan, namun tiada tiada kamera litar tertutup di dalam bilik tempat peti besi disimpan.

Kedua-dua suspek mengaku melakukan jenayah itu selepas disoal siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan