REUTERS

Serangan ke atas penumpang bas semakin meningkat di Pakistan. - Foto AGENSI
QUETTA: Lelaki bersenjata tidak dikenali bertindak membunuh tujuh penumpang sebuah bas yang dalam perjalanan ke Lahore dekat barat daya Pakistan semalam.
Serangan berlaku di Barkhan, sebuah daerah di barat daya Balochistan.
Wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran itu adalah medan pertempuran utama tentera Pakistan yang menentang pemberontak pemisah selama beberapa dekad.
Dalam kejadian itu, Timbalan Pesuruhjaya, Waqar Khurshid Alam, mengesahkan kumpulan penyerang dianggotai kira-kira 40 lelaki bersenjata bertindak memberhentikan beberapa bas dan kenderaan.
Beliau berkata, penyerang kemudiannya memeriksa kad pengenalan sebelum memaksa tujuh penumpang turun dari bas lalu menembak mereka.
Kesemua tujuh mangsa berasal dari wilayah Punjab tengah.
Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya, Khadim Hussain, berkata pembunuhan itu berlaku di lebuh raya yang menghubungkan Barkhan ke bandar selatan Dera Ghazi Khan di Punjab.
Bagaimanapun, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan motif di sebalik pembunuhan masih belum jelas.
Seorang pegawai memberitahu kawasan kejadian dikepung namun penyerang berjaya meloloskan diri.
Pada Jumaat lalu, satu letupan bom yang menyasarkan kenderaan membawa pelombong arang batu mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan enam yang lain.
Pada Ogos tahun lalu, kumpulan pemisah melancarkan serangan di Pakistan sehingga mengorbankan puluhan nyawa.
Serangan itu menyasarkan balai polis, infrastruktur dan orang awam termasuk di jalanan, mengorbankan 23 orang selepas penyerang memeriksa kad pengenalan dan melepaskan tembakan.
Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
-bharianonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan