Polis cekup suspek kes cabul budak perempuan dalam masjid

Malaysiakini

Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang disyaki terbabit dalam perbuatan mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ahmad Faizal Tahrim, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 8.19 pagi berhubung insiden yang tular di media sosial itu.

"Seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 19 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 22 Feb (esok) untuk dipohon reman bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Menurutnya kes disiasat bawah Seksyen Akta 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, berkaitan kesalahan amang seksual fizikal.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang lelaki mencabul seorang murid sekolah perempuan dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor pagi tadi.

Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika budak itu sedang sujud ketika bersolat Subuh bersama orang ramai pagi tadi.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), yang kini tersebar di media sosial, merakamkan kejadian jijik itu.

Susulan itu, kerajaan negeri Selangor mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku yang terbabit dalam cubaan merogol kanak-kanak perempuan di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata ia penting bagi memelihara masjid sebagai tempat selamat daripada jenayah.

Sementara itu, Ahmad Faizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkan kepada pihak berkuasa.

"Orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat diseru untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan