Malaysiakini
Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu membuat kajian sebelum mengkritik pembayaran dividen tinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 2024, kata aktivis Liyana Marzuki.
Ini berlaku selepas ahli parlimen Machang itu mendakwa langkah berkenaan mungkin bertujuan untuk menenangkan pencarum.
Dalam kenyataan Facebook hari ini, Liyana menggesa Wan Fayhsal membaca Seksyen 27 Akta KWSP 1991, yang menyatakan pembayaran dividen kepada pencarum mestilah mencerminkan prestasi pelaburan sebenar organisasi.
"Maknanya, jumlah pelaburan (tolak) kos yang ada. Semua amaun lepas tu perlu dijadikan dividen untuk rakyat.
"KWSP ni badan berkanun. Bukan syarikat persendirian. Yang boleh suka-suka simpan keuntungan.
"Maka betullah tindakan KWSP tahun ini. Isytihar dividen tinggi guna hampir kesemua pulangan pelaburan. Apa kata sebelum YB buat komen dan buat sidang media tu cubalah kaji sikit," katanya.
Pada 1 Mac, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah, yang merupakan yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Ini melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM73.24 bilion, yang memanfaatkan lebih 16 juta ahli.
Semalam, Wan Fayhsal mempersoalkan kadar dividen itu dengan berkata bahawa ia menggunakan hampir semua pendapatan pelaburan KWSP RM74.46 bilion untuk 2024.
"Saya nak tanya juga, apakah mungkin kerana kritikan pembangkang yang semakin kuat ke atas pengurusan KWSP menyebabkan mereka cuba menenangkan para pencarum? Itu soalan kami kepada KWSP," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan