Nikah kat Siam: Pasangan babitkan remaja 14 tahun pun ada ke sana untuk nikah

Fazlina Abdul Rahim

Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat ketika ditemui di pejabatnya. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
NARATHIWAT: Majlis Agama Islam Narathiwat mendedahkan ada segelintir pasangan dari Malaysia yang hadir ke pejabat mereka untuk melangsungkan perkahwinan masih di bawah umur termasuk berusia seawal 14 tahun.

Pasangan berkenaan datang ke pejabat terbabit berdua dan memohon dinikahkan, dengan alasan diberikan tidak dapat berkahwin di Malaysia berikutan tidak mendapat izin wali.

Malah, ada juga pasangan bawah umur dari Malaysia yang datang bersama wali mereka memberi alasan di Malaysia perlu melalui banyak proses sekiranya perkahwinan membabitkan individu di bawah umur.

Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, berkata walaupun kebanyakan yang datang mahu berpoligami, ada juga kes membabitkan pasangan bawah umur.

"Kes seperti ini tidak banyak, namun ada. Jika berdepan pasangan seperti ini, saya menerangkan kepada mereka dengan baik bahawa kami tidak menikahkan pasangan bawah umur.

"Ada kes di mana pasangan yang datang membabitkan perempuan berusia 14 tahun atau 16 tahun, namun yang lelaki sudah dewasa.

"Di sini walaupun tanggapan masyarakat mengatakan mudah untuk berkahwin di Thailand, namun untuk pasangan bawah umur kita tidak akan menikahkan mereka.

"Kita hanya menikahkan pasangan yang berusia 17 tahun ke atas," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, selain pasangan bawah umur, ada juga lelaki terdiri golongan warga emas datang ke Thailand untuk berkahwin.

"Walaupun pihak lelaki sudah berusia 60 tahun ke atas, kebanyakan wanita masih muda.

"Lingkungan usia paling banyak ramai mendapatkan khidmat nikah di sini adalah sekitar 30-an hingga 40-an," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan