Rafizi dedah cerita bagaimana kerjasama Malaysia-ARM tercetus

Fahmy A Rosli

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), ARM Holdings Plc (ARM) memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat ASEAN pertamanya susulan pertemuan pada Sidang Kemuncak KL20, tahun lalu.

Katanya, ketika itu, Presiden ARM Limited Taiwan, CK Tseng berada sepentas sebagai ahli panel sidang kemuncak berkenaan.

"Pada penghujung persidangan selama dua hari itu, Kerajaan Malaysia dan ARM sepakat bahawa kita perlu melakukan lebih banyak usaha.

"Kita memerlukan satu kerjasama yang lebih mendalam dan substantif, selari dengan visi teknologi Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim.

"Kerjasama ini perlu berfokus kepada pemindahan ekosistem semikonduktor kita dari OSAT ke IP, membangunkan teknologi asli, dan membolehkan Malaysia meneroka bidang AI (kecerdasan buatan), robotik, kenderaan autonomi, serta IoT (internet kebendaan)," katanya dalam hantaran di akaun X hari ini.

Rafizi menjelaskan rundingan antara Kerajaan Malaysia dan ARM berlangsung selama berbulan-bulan.

Dalam tempoh itu, beliau berkata, barulah ia membuahkan satu model kerjasama yang memberi keutamaan kepada keseluruhan ekosistem.

"Ini bukan sesuatu yang bersifat sementara atau bergantung kepada tenaga kerja murah. Ia bukan sekadar mengejar atau menaik taraf teknologi, tetapi satu lonjakan teknologi yang sebenar," katanya.

"Sudah tentu, akan ada pihak yang skeptikal dan bertanya mengapa pereka bentuk seni bina cip terbesar di dunia memilih Malaysia?

"Sememangnya, ini adalah kali pertama ARM bekerjasama dengan sebuah negara dalam bentuk perjanjian seperti ini," katanya.

Apabila meneroka sesuatu yang belum pernah dilakukan, beliau berpandangan kejayaan bergantung pada masa yang tepat, tempat yang tepat dan individu yang tepat bekerjasama.

Jika ada satu perkara yang boleh kita pelajari daripada kerjasama ini, beliau menganggap yang ia adalah bukti keupayaan Malaysia.

"Bahawa kita perlu mempercayai kebolehan dan aspirasi kita sendiri bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menempuh laluan ini," katanya.

Hari ini berlangsung peluncuran kerjasama strategik dalam industri semikonduktor antara Kerajaan Malaysia dengan ARM dirasmikan oleh Perdana Menteri.

Antara yang perkara diumumkan Perdana Menteri adalah 10,000 bakat tempatan akan dilatih dalam reka bentuk IC termaju demi memastikan aliran tenaga mahir negara yang kukuh.

Kerjasama kedua-dua pihak memberikan syarikat Malaysia yang terpilih akses istimewa kepada teknologi dan portfolio harta intelek (IP) canggih ARM.

Ia turut akan memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan, bagi menyokong matlamat negara dalam pengeluaran cip yang lebih maju di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan