Runtuhan di Kompleks Segama: Wanita parah dihempap lantai konkrit

Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my
KEADAAN runtuhan di sebuah restoran di Kompleks Segama, malam ini. FOTO Mohd Adam Arinin.
KEADAAN runtuhan di sebuah restoran di Kompleks Segama, malam ini. FOTO Mohd Adam Arinin.
Kota Kinabalu: Wanita parah akibat dihempap serpihan bangunan selepas lantai tingkat satu sebuah bangunan kedai di Kompleks Segama, di sini, tiba-tiba runtuh, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Wang Way, 55, berada di tingkat bawah bangunan yang menempatkan sebuah restoran.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dihempap lantai konkrit tingkat satu yang juga siling restoran terbabit ketika berada dalam premis berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sembulan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan jam 8 malam.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat runtuhan lantai dalam bangunan dan terdapat seorang mangsa perempuan dihempap.

"Mangsa sudah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

"Pasukan bomba kemudian bertindak mengarahkan orang awam untuk keluar dari bangunan terbabit ke tempat yang selamat," katanya.

Difahamkan, lantai bangunan di tingkat satu yang runtuh menempatkan rumah penginapan, namun tiada laporan membabitkan mangsa dari premis berkenaan.

Runtuhan itu membentuk satu lubang besar di lantai tingkat satu bangunan terbabit, manakala kejadian dipercayai berlaku akibat struktur lantai yang lemah disebabkan faktor usia bangunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan