BuletinTV3

FOTO: JBPM
PENAMPANG: Sepasang suami isteri cedera parah akibat melecur dalam kebakaran membabitkan lima blok kediaman pekerja di Jalan Penampang Baru, di sini, tengah hari tadi.
Lelaki berusia 63 tahun dan isterinya, 59, melecur di seluruh badan dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, setiap blok rumah pekerja jenis tidak kekal yang menempatkan 38 unit dilaporkan musnah lebih 90 peratus akibat kebakaran.

FOTO: JBPM
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 petang.
Seramai 17 anggota, termasuk pegawai, bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Terdapat dua mangsa mengalami kecederaan parah akibat melecur dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOTO: JBPM
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 90 meter dengan tiga pancutan dari sumber air dari tangki.
“Api dapat dikawal pada jam 2.20 petang sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan