Samadi Ahmad
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan 'ulat kad sim' didalangi warga Bangladesh, melalui operasi khas di ruang legar Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Sembilan individu warga negara itu berusia 22 hingga 50 tahun berjaya ditahan dalam operasi bermula jam 1.30 tengah hari yang membabitkan pasukan dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tindakan diambil susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Beliau berkata, pasukan turut merampas empat naskhah pasport Bangladesh, 10 unit telefon bimbit, 121 kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi (telco), lapan jarum pembuka kad sim serta wang tunai berjumlah RM1,555.
"Modus operandi 'ulat kad sim' itu ialah menyasarkan pelancong warga Bangladesh yang baru tiba di KLIA, dengan menjual kad sim secara langsung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, kad sim daripada pelbagai telco Malaysia itu dipercayai didaftarkan atas nama individu lain dan dijual pada harga RM25 sekeping.
Katanya, hasil soal siasat awal mendapati hasil jualan kad sim terbabit boleh mencecah RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan kegiatan itu dipercayai bermula sejak dua bulan lalu.
Malah, beliau berkata, hasil semakan awal mendapati lima lelaki warga Bangladesh ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah, manakala dua tinggal lebih masa dan dua lagi dipercayai melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
"Lima daripada mereka disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (dua); dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (dua)," katanya.
Beliau berkata, kesemua warga asing itu kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan