Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Dua anggota direman di Mahkamah Majistret Seremban. FOTO AZRUL EDHAM
Seremban: Padah meminta rasuah daripada seorang lelaki ketika pemeriksaan kenderaan, di daerah ini Ahad lalu, dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Suspek dipercayai meminta rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah stesen minyak.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira antara jam 1 tengah hari hingga jam 3 petang semalam di dua lokasi berbeza sekitar Seremban.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Ahad lalu ketika kedua-duanya menjalankan tugas dengan membuat pemeriksaan kenderaan individu terbabit.
"Ketika pemeriksaan kedua-dua suspek dikatakan mengambil kad pengenalan individu berkenaan dan meminta wang rasuah sekitar RM6,000 jika ingin kad pengenalannya dipulangkan semula," katanya.
Justeru, katanya, perintah reman selama lima hari sehingga 3 Mei 2025 dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan