Adun Sabah cadang perasuah ditembak mati

Malaysiakini 

Seorang Adun Sabah mencadangkan agar Malaysia mengambil pendekatan yang lebih keras terhadap isu rasuah dengan mencontohi negara China, yang menghukum mati mereka yang didapati bersalah.

Ahli politik Warisan, Jamil Hamzah, membuat cadangan tersebut ketika berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri semalam, di tengah-tengah skandal rasuah yang melibatkan pentadbiran negeri oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

 “Mungkin kita boleh belajar daripada negara yang berjaya menangani rasuah. 

“Contohnya China, mereka yang terlibat dalam rasuah akan tembak mati,” kata Jamil semasa sesi tersebut.

 “Semua orang takut mati. Saya percaya semua kita dalam dewan ini pun takut mati. Siapa yang tidak takut mati?” tambah Adun Bugaya itu.

 Jamil berhujah bahawa pendekatan sebegitu terbukti berkesan dalam membendung rasuah di beberapa negara.

 Sejak November tahun lalu, seorang ahli perniagaan mendedahkan beberapa siri video dan tangkap layar perbualan WhatsApp yang mengaitkan lapan Adun GRS serta Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya.

 Ahli perniagaan tersebut, yang mendakwa mempunyai lebih banyak bukti video, mengaku merasuah ahli politik berkenaan sebagai balasan kepada kelulusan lesen penerokaan mineral.

 Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menuduh individu itu bekerjasama dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan pentadbirannya menjelang pilihan raya negeri yang akan datang.

 Ahli perniagaan berkenaan juga didakwa terlibat dalam satu kartel yang cuba memonopoli aktiviti perlombongan di negeri tersebut.

Semalam, seorang lagi wakil rakyat Warisan Alias Sani mengkritik Hajiji selepas soalannya berhubung dakwaan rasuah tersebut ditolak daripada dibahaskan di sidang dewan.

“Hajiji Noor memperlakukan Adun pembangkang sebagai bodoh, cuba tutup mulut kami. Tindakan yang kejinya adalah satu penghinaan kepada kami dan turut mencemarkan serta menyalahgunakan dewan yang mulia ini.

"Tujuan saya mengemukakan pertanyaan di atas kerana menurut kenyataan peguam veteran, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 5 Februari 2025 berkata bahawa anak guamnya ‘pemberi maklumat’ memiliki banyak video dan tangkap layar WhatsApp yang belum didedahkan,” katanya.

Pada 10 April, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkata pihaknya sedang menunggu laporan analisis forensik terhadap video skandal rasuah Sabah yang diserahkan pada 11 Mac.

Pada 13 Mac, peguam kepada ahli perniagaan tersebut berkata bahawa anak guamnya telah menyerahkan bukti yang mencukupi kepada SPRM, termasuk kenyataan sepanjang 50 muka surat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan