Anggota polis ditemukan meninggal dunia di kuarters

BERNAMA

Kuantan: Seorang anggota polis berpangkat koperal daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kem Galing PGA di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima maklumat pada 11 malam dengan mangsa berusia 42 tahun dipercayai sudah meninggal dunia antara tiga ke empat hari lalu.

"Mangsa ditemukan duduk di sofa di ruang tamu rumah di tingkat enam kuarters kem berkenaan.

"Lelaki itu tinggal bersendirian dan ditemukan oleh dua rakan yang mencarinya bagi tugasan operasi hari ini.

"Pintu rumah terpaksa dipecahkan kerana mangsa gagal menjawab telefon.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan atau perlakuan jenayah pada badan mangsa," katanya kepada Bernama hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata adik mangsa memaklumkan abangnya menghidap hipertensi dan pernah diserang angin ahmar pada dua tahun lalu, serta masih mengambil ubat bagi penyakit tersebut.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan