Nazdy Harun

Keadaan kereta mangsa kemalangan di di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) laluan Ajil. - Foto PDRM
KUALA BERANG: Perjalanan seorang lelaki untuk ke rumah isterinya di Segamat, Johor, bertukar tragedi apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan kira-kira jam 11.55 pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer (km) 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di laluan Ajil menghala ke Bukit Besi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kira-kira jam 8.30 pagi mangsa Che Rosli Che Mat, 57, memandu kereta jenis Honda City dari Kelantan menghala ke Segamat, Johor, untuk ke rumah isterinya.
Katanya, kira-kira jam 11.30 pagi apabila sampai di tempat kejadian secara tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri kemudian masuk ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
"Akibat daripada kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Menurutnya, siasatan ke atas kenderaan mendapati tayar hadapan sebelah kiri pecah, bumper hadapan tercabut, lampu hadapan sebelah kiri pecah, calar pada sisi kiri kenderaan manakala lain-lain kerosakan belum dapat dipastikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan