Kedah: Mereka sudah melampau

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Pendang: "Perbuatan anak-anak jiran yang masih kecil itu sangat tidak berperikemanusiaan hingga kami hilang sabar dan terpaksa membuat laporan polis," kata Nor Zaihan Muhammad Yusof, 29.

Menurutnya, abang sulungnya yang berusia 40 tahun menghidap Skizofrenia sering menjadi mangsa gangguan anak-anak jiran mereka.

Katanya, dalam kejadian terbaru, anak jirannya itu didakwa kencing di atas badan abangnya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu menyebabkan mereka sekeluarga hilang sabar.

"Kami sekeluarga sudah cuba sedaya upaya menjaga abang tetapi kami kecewa, sedih dan marah apabila ada yang memperlakukan dia dengan keji.

"Ada yang berani masuk ke kawasan rumah kami semata-mata mahu mengganggu serta menyerang abang secara fizikal dan emosi," katanya yang menetap di Kubur Panjang, di sini.

Nor Zaihan berkata, lebih mengecewakan dan menyedihkan apabila semua yang terbabit melakukan perbuatan itu ke atas abangnya adalah kanak-kanak bawah umur yang bebas berkelakuan sedemikian di hadapan ibu bapa mereka.

"Ibu bapa mereka sendiri juga seolah-olah bersikap lepas tangan dengan kelakuan nakal anak-anak mereka," katanya.

Sebelum itu, Nor Zaihan berkongsi di media sosial Facebook (FB) miliknya pada 3 April lalu dengan memaklumkan abangnya itu didiagnosis dengan penyakit Skizofrenia sejak berusia enam tahun.

Katanya, keluarganya sudah berkorban selama 40 tahun untuk menjaga keselamatan abangnya termasuk memastikan pagar rumah sentiasa berkunci dan tingkap bilik dipagar dengan besi.

"Kami sudah sedaya upaya menjaga abang dengan penuh kasih sayang, tetapi anak jiran-jiran ini mempersendakan penyakit abang saya dan menjadikannya sebagai jenaka.

"Sebelum ini, abang saya pernah mengadu dibaling batu oleh anak-anak jiran, tetapi kami tiada bukti.

"Malah baru-baru ini, saya sendiri melihat mereka membaling mercun bola ke arah abang saya yang sedang duduk di garaj rumah.

"Selepas itu kami melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mereka mencucuh baju yang disidai di pagar rumah kami dengan pemetik api dan memanjat pagar yang dikunci," jelasnya.

Katanya, dalam kejadian terbaru baru-baru ini ibunya mendakwa melihat kanak-kanak itu kencing pada badan abangnya dan tindakan itu dianggap keterlaluan.

"Disebabkan itu, saya nekad untuk membuat laporan di Balai Polis Kubur Panjang pada 3 April lalu bagi pihak abang.

"Selain itu, kami sekeluarga berharap supaya ibu bapa kanak-kanak terbabit dapat menasihatkan serta mendidik mereka supaya menjadi lebih baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan