Ketagih telefon pintar punca rogol, sumbang mahram meningkat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketagihan telefon pintar menjadi antara punca utama gejala sosial yang menyebabkan kes jenayah, sumbang mahram dan rogol meningkat.

Timbalan Mufti Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, berkata kebanyakan kanak-kanak kini mempunyai telefon pintar dan dapat mengakses media sosial.

Katanya, tanpa disedari ibu bapa, ramai daripada mereka gemar melihat gambar atau video memaparkan seks dan jenayah.

“Kanak-kanak ini suka berkumpul dan bercakap sambil melihat pelbagai perkara di media sosial dan mereka mudah terpengaruh. Situasi ini sangat bahaya,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau mengulas peningkatan jenayah seks dan sumbang mahram membabitkan kanak-kanak di negeri  itu.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan bimbang dengan peningkatan kes rogol dan sumbang mahram pada tahun lalu yang memerlukan tindakan segera dan komitmen masyarakat untuk mengatasinya.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, dipetik sebagai berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkod, meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.

Hasil siasatan pihaknya turut mendapati sebanyak 98 kes yang dilaporkan adalah suka sama suka.

Beliau turut mendedahkan ada kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung.

Sementara itu, Nik Kadir berkata kes jenayah dapat dikurangkan dengan pendidikan di sekolah dan pemantauan oleh ibu bapa.

“Ibu bapa pada hari ini sepatutnya mengambil berat dan memberikan pendidikan agama yang secukupnya sebagai benteng di akhirat.

“Ibu bapa yang menitikberatkan Islam dapat melahirkan anak-anak yang tahu hukum agama,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan