Lagi rakyat Malaysia ditahan di pekan Sungai Golok kerana miliki dadah

Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my
TIGA rakyat Malaysia antara 34 ditahan dalam operasi anti dadah di pekan Sungai Golok, semalam. FOTO Ihsan Polis Thailand.
TIGA rakyat Malaysia antara 34 ditahan dalam operasi anti dadah di pekan Sungai Golok, semalam. FOTO Ihsan Polis Thailand.
Sungai Golok: Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand kerana memiliki Eramin 5, pil ekstasi dan dan peranti vape dalam operasi antidadah di pekan Sungai Golok, di sini, semalam.

Jurucakap polis Thailand berkata mereka yang berusia antara 23 dan 32 adalah antara 34 individu yang ditahan dalam operasi itu yang bermula jam 9.30 pagi (waktu Thailand).

Selain itu, 31 lagi yang ditahan adalah warga Thailand.

Jurucakap itu berkata, operasi itu dilakukan secara bersama polis, anggota tentera dan pegawai daerah Sungai Golok di sebuah pusat peranginan di sempadan.

"Dalam serbuan itu, 34 individu ditahan. Seramai 11 individu termasuk tiga rakyat Malaysia ditahan kerana memiliki dadah dan peranti vape, manakala 23 lagi diklasifikasikan sebagai penagih dadah," katanya.

Jurucakap itu berkata, pelbagai jenis dadah dan beberapa peranti vape dirampas dalam operasi itu.

"Mereka dijangka didakwa bersama atas tuduhan memiliki bahan psikotropik kategori 1 (ekstasi) dan kategori 4 (eramin 5) secara haram untuk kegunaan peribadi.

"Seorang daripada mereka juga akan menghadapi pertuduhan tambahan kerana memiliki barang import haram yang tidak diproses melalui kastam," kata jurucakap itu.

Menurutnya, kesemua suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan undang-undang lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan