Lelaki dipukul beramai-ramai dituduh ganggu isteri orang

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Subang Jaya: Seorang lelaki cedera selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di Medan Selera Puchong Permai, di sini, Khamis lalu, kononnya kerana mengganggu isteri orang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa menyapa seorang kenalannya sebelum tiba-tiba ditolak individu tidak dikenali.

"Secara tiba-tiba, datang beberapa lelaki menolak mangsa dan salah seorang daripada mereka dalam keadaan marah menuduh lelaki itu cuba mengganggu isterinya.

"Kemudian, mangsa dipukul oleh lebih kurang 10 lelaki menggunakan tangan menyebabkan mangsa bengkak di bahagian muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya berjaya menahan empat individu berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun pada jam 1 pagi hari ini.

Katanya, hasil soal siasat, suspek terbabit mengaku terbabit dalam kejadian itu dan permohonan reman dipohon hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, permohonan reman ke atas kesemua suspek yang diwakili peguam ditolak berikutan mangsa sudah menarik semula laporan yang dibuat.

"Namun, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan seterusnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan di talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail di talian 019-281 7820.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan