Lelaki lari bersama bakal ibu mentua 10 hari sebelum majlis perkahwinan

Agensi
BAKAL pengantin lelaki lari bersama bakal ibu mentua. Foto AGENSI
BAKAL pengantin lelaki lari bersama bakal ibu mentua. Foto AGENSI
Uttar Pradesh: Seorang lelaki berusia 25 tahun di India dilapor melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya yang berusia 38 tahun, hanya 10 hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Rahul bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta di Uttarakhand.

Beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya, Shivani yang tinggal di kampung Manoharpur Kayastha.

Namun, pada 6 April lalu, Rahul dan ibu Shivani iaitu Anita, dilaporkan hilang.

Selepas kejadian itu, bakal pengantin perempuan dikatakan jatuh sakit serta alami kejutan emosi.

Keluarga kedua-dua pihak kemudian membuat laporan polis dan melakukan pencarian.

Menurut ahli keluarga, hubungan cinta itu dipercayai bermula selepas Anita menghadiahkan telefon bimbit kepada Rahul enam bulan yang lalu.

Orang kampung turut memaklumkan Rahul kerap mengunjungi rumah bakal mentuanya dan sering berbual panjang dengan Anita, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Anita turut melarikan barang kemas milik anaknya serta wang tunai sebanyak 350,000 rupee (RM19,700) yang disimpan di rumah untuk majlis perkahwinan berkenaan.

Pegawai Polis Daerah Iglas, Mahesh Kumar, berkata memandangkan kedua-dua mereka adalah dewasa, laporan polis rasmi (FIR) tidak dapat dibuat .

"Bagaimanapun, pihak keluarga wanita berkenaan sudah mengemukakan aduan bertulis berhubung kehilangan barang kemas dan wang tunai.

"Selepas aduan kehilangan difailkan, pasukan pemantauan dan siasatan polis sudah digerakkan.

"Pihak polis akan mengesan wanita itu dalam masa terdekat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan