Mayat 2 bersaudara dalam rumah: Mangsa mungkin mati lebih 7 hari lalu - Polis

Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan kes kematian wanita bersama anak saudaranya di sebuah rumah di Semenyih, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan berkaitan kes berkenaan.

"Lima saksi dipanggil iaitu jiran serta ahli keluarga mangsa sudah dirakam percakapan.

"Beberapa saksi lain juga akan dipanggil dan dijangka hadir memberi keterangan pada esok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian malam kelmarin, wanita berusia 53 tahun dan anak saudara lelakinya, 25, ditemukan maut dalam rumah mereka di Semenyih selepas hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan kejiranan.

Mayat mereka ditemui selepas pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memecah masuk kediaman itu, susulan laporan dibuat ahli keluarga yang mengesyaki sesuatu berikutan bau busuk dari kediaman itu.

Pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang kesan geledah, manakala pintu rumah didapati berkunci dari dalam.

Bedah siasat ke atas kedua-dua mayat mendapati punca kematian akibat sesak nafas, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Tambah Naazron, setakat ini pihaknya masih menunggu keputusan analisis sampel 'maggots' (ulat) yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi menentukan jangka hayat kematian mangsa.

"Penentuan umur ulat akan membantu anggaran lebih tepat mengenai tempoh kedua-dua mangsa meninggal dunia.

"Namun terdapat kemungkinan kedua-dua mangsa sudah lebih tujuh hari meninggal dunia," katanya.

Naazron berkata, sehingga kini kedua-dua mayat belum diserahkan kepada keluarga berikutan proses siasatan sedang berjalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan