Menteri gesa Adun PAS beri kerjasama, Polis hanya jalankan tugas

Anne Muhammad

PUTRAJAYA: Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud digesa bekerjasama dengan polis Kelantan untuk mendapat data jenayah seks dan narkotik di Kelantan yang dipersoalkan wakil rakyat PAS terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata polis hanya menjalankan tugasnya mereka untuk mengawal dan menyiasat sebarang kes.

“Kalau nak bukti minta dan kerjasama dengan polis.

“Kami pun mohon data polis sebelum keluarkan kenyataan kerana ia membabitkan kes telah disiasat…kalau belum siasat tak masukkan,” katanya selepas perhimpunan bulanan kementeriannya.

Mengikut laporan media, Wan Rohimi pada sidang DUN Kelantan, Selasa lalu mendakwa Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memberi gambar negatif berhubung kes-kes jenayah di negeri itu.

Wan Rohimi mendakwa polis mengeluarkan kenyataan mengenai kes-kes jenayah itu tanpa disokong oleh data dan fakta.

Antara isu disentuh Mohd Yusoff ialah melibatkan usahawan kosmetik yang didakwa mengetuai sindiket dadah, kejadian kes rogol serta sumbang mahram termasuk melibatkan kanak-kanak.

Berhubung kes rogol dan sumbang mahram, Yusoff berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes direkod, meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan