Mudah? Bayar RM30k, terus timang anak

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Putrajaya: Lebih RM30,000, itu harga dibayar seorang juruteknik pendingin hawa bagi 'membeli' seorang bayi yang diidamkan selepas segala ikhtiar untuk mendapatkan anak gagal.

Lelaki berusia 44 tahun yang ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Melaka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat JPN di Putrajaya itu mengaku terdesak mendapatkan cahaya mata sebelum mencari jalan mendapatkan anak angkat.

Dia mendakwa, ketika itu dia dipertemukan dengan ejen sindiket.

"Selepas bertanya-tanya, saya bertemu dengan seorang wanita tempatan dan dia menyerahkan bayi kepada saya dan isteri di kawasan parkir sekitar Bukit Jalil, tiga tahun lalu.

"Ketika itu saya tahu ia satu kesalahan tetapi kami terdesak, semasa pertemuan itu, wanita berkenaan menyerahkan bayi dan dokumen untuk didaftarkan.

"Kemudian saya dan isteri membawa dokumen itu untuk membuat pendaftaran di JPN," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia ada meminta pandangan peguam berhubung tindakannya dan dinasihatkan menyerah diri kepada pihak berkuasa, namun dia mendakwa takut melakukannya.

Ini kerana dia berpendapat, bayi itu akan mendapat kehidupan lebih baik bersamanya dan isteri berbanding keluarga kandung yang tidak mahukan anak itu.

Menurutnya, dia dan isterinya sudah menghabiskan ribuan ringgit bagi melakukan prosedur persenyawaan in vitro (IVF) beberapa kali, namun tidak berhasil.

"Sekarang dia sudah berusia tiga tahun, ada orang cakap muka dia tidak sama dan warna kulit dia lain daripada kami, tetapi bagi saya dia tetap anak saya.

"Kalau satu hari nanti dia sudah besar dan bertanya perkara sebenar, saya akan ceritakan semua kerana saya percaya hidup dia dengan kami lebih selesa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan