Mufti Perlis: 'Bidaah bakar jubah Walid'

Ammar Izzudin Zainudin

Drama web tempatan Bidaah arahan Mohd Fazli Yahya muncul fenomena baru apabila menyentuh isu paling sensitif dalam masyarakat – penyalahgunaan agama oleh golongan berkepentingan.

Terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd milik Erma Fatima dan ditayangkan secara eksklusif di platform Viu Malaysia-Indonesia, Bidaah bukan sekadar kisah rekaan semata.

Dengan lebih 2.5 bilion tontonan dicatatkan, drama ini menjadi antara naskhah paling tular tahun ini – membongkar sisi gelap manipulasi agama atas nama keimanan.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) antara yang tampil mengulas kontroversi drama ini.

“Hebat bagi sebuah karya seni yang berjaya membakar jubah ‘walid-walid’ yang selama ini bersembunyi atas nama kerohanian untuk menghisap harta dan diri pengikut mereka.

"Akhirnya, mereka mula kepanasan dan mengulas dengan penuh emosi.

"Ketika mereka mengangkat jubah bimbang terkena api, mereka terlupa perkara lain pula yang terdedah,” katanya menerusi platform Dr Maza Channel.

Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa menyertai kumpulan radikal bernama Jihad Ummah yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein) – seorang pemimpin karismatik tetapi zalim yang mendakwa dirinya sebagai ‘Imam Mahdi’.

Di sebalik jubah dan gelaran suci itu, terselindung ajaran sesat, perkahwinan paksa, eksploitasi seksual dan kawalan psikologi ekstrem.

Petikan paling menggugah dalam drama ini ialah, “Pejamkan mata, bayangkan muka Walid,” — dialog yang mencerminkan kedalaman manipulasi terhadap pengikut oleh tokoh berkarisma penuh tipu daya.

Klimaks cerita memuncak apabila anak kandung Walid sendiri, Hambali (Fattah Amin), pulang dari Yaman dan mula meragui ajaran ayahnya. Bersama Baiduri, mereka menentang sistem menindas yang beroperasi di bawah nama agama.

Gabungan lakonan kuat, naratif bertingkat dan keberanian menampilkan isu-isu tabu menjadikan Bidaah lebih daripada sekadar tontonan — ia mencerminkan realiti sosial yang menggoncang.

Pendakwah selebriti, Ustaz Amin Idris pula menyoal kenapa drama ini ‘laku keras’ di Indonesia.

“Saya ada bersembang dengan rakan-rakan berasal dari Indonesia yang dikenali ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dahulu, mereka mengatakan bahawa apa yang berlaku di dalam drama tersebut, memang berlaku di Indonesia," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Amin berkata rakannya memberitahu sudah menjadi kebiasaan di negara jiran apabila seseorang itu memakai jubah dan serban, maka orang ramai lebih mudah percaya.

Bagaimanapun, Amin berkata dia setuju dari sudut lain drama itu boleh merosakkan imej Islam dan golongan agamawan.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dia telah menonton siri drama itu dan akan memberi penjelasan terperinci dalam masa terdekat.

"Ada dua perkara utama membuatkan saya berfikir panjang, pertama ialah kesesuaian tajuk drama ini.

"Kedua, gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif yang kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar tasawuf dan tarekat yang murni menurut al-Quran dan al-Sunnah," katanya.

Dia juga mengucapkan tahniah kepada Pali Yahya dan Erma Fatima berhubung penghasilan drama tersebut.

"Apa jua kaedah penyampaian sama ada salah atau betul dari sudut persepsi dan tanggapan penonton, saya yakin niatnya baik.

“Bertitik tolak dari situ, kita nilai dengan adil, bukan nilai dengan emosi,” katanya, lapor Kosmo Online pada 12 April lalu..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan