FMT Reporters
PETALING JAYA: Pengetua Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai meletakkan jawatan susulan penahanan dua pelajarnya yang disyaki menghasilkan dan menjual imej bogel palsu wanita menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam kenyataan hari ini, lembaga pengarah sekolah tersebut memaklumkan bahawa surat perletakan jawatan daripada pengetua Gan Chuang Chee telah diterima pada 12 April lalu.
“Lembaga mengambil serius perkara ini, dan dalam mesyuarat bulanan pada 17 April, kami sebulat suara bersetuju untuk menghormati keputusan Gan,” kata kenyataan itu.
Lembaga turut memaklumkan bahawa satu pasukan bebas terdiri daripada lima ahli ditubuhkan bagi menyemak aduan yang dikemukakan oleh bekas pelajar berkenaan perkara itu.
Awal bulan ini, beberapa pelajar perempuan dan bekas pelajar membuat aduan bahawa gambar mereka telah disalahgunakan untuk mencipta imej bogel palsu yang kemudiannya dijual secara dalam talian.
Pada Rabu lalu, polis Iskandar Puteri memperoleh perintah reman terhadap dua remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penjualan imej tersebut.
Salah seorang suspek berusia 16 tahun dan seorang lagi berumur 19 tahun. Suspek 16 tahun dipercayai menggunakan perisian AI serta gambar dari media sosial untuk mencipta imej bogel menggunakan wajah mangsa, sebelum menjualnya secara dalam talian pada harga RM2 setiap satu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan