Pemilihan PKR: Nik Nazmi tewas pada Afdlin

Malaysiakini 
story-image
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Setiawangsa selepas tewas kepada kepada pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.

Afdlin menang dengan 631 undi berbanding Nik Nazmi 563 undi.

Mengikut borang keputusan PKR, hanya 1,207 undi dikeluarkan walaupun 1,640 orang layak mengundi.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa.

Afdlin sebelum ini menyifatkan Nik Nazmi "terlalu sibuk" dengan tugas lain, justeru dia ingin menawarkan alternatif kepada ahli akar umbi.

Ini merupakan kali kedua Afdlin mencabar Nik Nazmi bagi jawatan ketua cabang. Dia sebelum ini juga berkata pasukannya terlibat dengan ahli parti yang mendakwa "tidak pernah bertemu" Nik Nazmi selama memegang jawatan ketua cabang.

Pemilihan PKR peringkat cabang bermula dari 11 April dan akan berakhir esok.

Sementara itu, dalam pemilihan parti Bukit Bintang, Timbalan Menteri Perpaduan Senator K Saraswathy kehilangan jawatan ketua cabang kepada Anwar Pawan Chik.

Anwar menang dengan 807 undi berbanding Saraswathy 683, yang diikuti rapat oleh Sivamalar Genapathy (664).

Saraswathy sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding di bahagian Bukit Bintang, memetik pengalamannya selama 26 tahun berkhidmat kepada masyarakat di sana.

Bagi cabang Batu, ahli parlimen kawasan itu, Prabakaran Parameswaran tewas pada peguam Asheeq Ali Sethi Alivi dengan kelebihan 153 undi.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menang tanpa bertanding di Lembah Pantai.

Fahmi juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan