Remaja ditahan sunting, jual gambar lucah guna AI

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Tindakan seorang remaja lelaki memuat naik dan menjual gambar lucah yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam talian membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 16 tahun dan masih bersekolah itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sekitar Kulai, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada remaja perempuan berusia 18 tahun pada 3 April lalu yang mendakwa terdapat gambar lucah yang sudah disunting dengan menggunakan gambar wajahnya tular di media sosial.

"Mangsa mendapati gambar lucah itu turut cuba dijual dalam talian.

"Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar mangsa-mangsa suspek ke laman sosial bagi tujuan jualan.

"Siasatan awal mendapati suspek memperoleh gambar mangsa daripada akaun media sosial sebelum menyuntingnya menggunakan aplikasi AI. Setiap keping gambar dipercayai dijual pada harga RM2," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek remaja itu kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kumar berkata, pihaknya turut menerima lapan laporan lain yang membabitkan kes dan suspek sama.

"Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar mangsa di media sosial serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran awam.

"Mangsa yang terjejas disaran tampil membuat laporan polis di balai berdekatan. Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Huda Shohodin di talian 013-5382698," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan