Shida minta peminat China henti 'menghendap'

AFP
SHIDA mengakui kurang selesa dengan perbuatan berkenaan. FOTO AFP
SHIDA mengakui kurang selesa dengan perbuatan berkenaan. FOTO AFP
Beijing: Jaguh beregu wanita Jepun, Chiharu Shida menggesa peminat fanatik di China agar berhenti 'menghendap' (mengekori seseorang secara senyap dalam talian) dirinya selepas mendakwa menerima gangguan selama lebih setahun yang menyebabkan dia berasa takut dan tidak selesa.

Shida, 27, yang turut dikenali sebagai 'Dewi Badminton' oleh peminat dan media tempatan, meluahkan perasaannya menerusi satu hantaran di Instagram semalam, ketika sedang beraksi dalam Kejohanan Badminton Asia di Ningbo.

"Setiap kali kami bertanding di China, kami pasti mengalami gangguan daripada peminat. Keadaan ini sudah berlarutan selama setahun setengah," tulisnya dalam bahasa Cina.

"Kebelakangan ini saya sangat tidak selesa dan sangat takut. Saya minta, tolong hentikan perbuatan mengendap saya... Jika ia masih berterusan, saya akan cari jalan untuk mengatasinya," tegas Shida yang menjuarai pingat gangsa Sukan Olimpik Paris dalam acara beregu wanita.

Shida menambah, tidak semua peminat berperangai begitu dan mengucapkan terima kasih kepada majoriti penyokong yang sentiasa memberi semangat.

Shida dan rakan gandingannya, Nami Matsuyama — kini berada di ranking ketiga dunia — mara ke pusingan seterusnya di Ningbo selepas menewaskan pasangan senegara, Mizuki Otake-Miyu Takahashi hari ini.

Fenomena pemujaan melampau terhadap atlet dan selebriti di China bukan sesuatu yang asing, hingga memaksa pihak berkuasa negara itu campur tangan.

Menurut laporan CCTV, pihak pentadbiran siber China baru-baru ini menutup hampir 4,000 akaun dalam talian dan memadamkan 1.6 juta hantaran di pelbagai platform bagi mewujudkan 'persekitaran yang sihat untuk para atlet'.

Isu keselamatan peribadi atlet seperti Shida kini menjadi fokus, terutama dalam dunia sukan yang semakin terbuka kepada interaksi digital — namun berisiko jika tidak dikawal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan