Agensi

SUSPEK, Didik, ketika ditahan polis. FOTO detik.com
Probolinggo, Indonesia: Seorang wanita berusia 25 tahun maut ditikam lapan kali oleh suaminya selepas mereka mengadakan hubungan intim di sebuah hotel di Probolinggo, dipercayai berpunca akibat cemburu serta kecurangan rumah tangga, lapor detik.com pada Khamis.
Mangsa, Dwi Nurtikki Damayanti, yang berasal dari Probolinggo, dilaporkan berjumpa suaminya, Didik, 25, selepas sekian lama tidak duduk sebumbung.
Pertemuan pada awal April itu, yang sepatutnya menjadi ruang untuk berdamai, bertukar menjadi tragedi berdarah apabila Didik menikam isterinya berulang kali selepas pertengkaran panas tercetus mengenai dakwaan Dwi mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
"Suspek dan mangsa masih suami isteri sah walaupun berpisah tempat tinggal. Mereka bertemu dan menginap di hotel. Selepas hubungan intim, berlaku pertengkaran di dalam bilik hotel akibat cemburu," kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polres Probolinggo, AKP Putra Adi Fajar Winarsa.
Pertengkaran yang bermula di bilik hotel berlanjutan sehingga ke kawasan Jalan Alas Malang, Desa Tarokan, Kecamatan Banyuayar.
Di situ, Didik bertindak menikam mangsa di bahagian leher, paha dan perut sehingga mangsa meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.
Selepas membunuh isterinya, Didik melarikan diri ke Bali.
Bagi menghapuskan bukti, dia membuang senjata pembunuhan iaitu pisau ke dalam sungai dan turut memusnahkan telefon bimbit milik Dwi.
"Pelaku membuang pisau dan telefon bimbit mangsa untuk mengelak dikesan. Ini menyukarkan penyiasatan kerana tiada saksi langsung di tempat kejadian," kata Fajar.
Bagaimanapun, kes berkenaan berjaya dirungkai hasil maklumat daripada rakan sekerja mangsa yang memaklumkan bahawa Dwi pernah menyuarakan kebimbangan terhadap ugutan bunuh yang diterimanya daripada suami sebelum kejadian berlaku.
"Bertuahnya, ada saksi kunci iaitu rakan kerja mangsa yang memberitahu bahawa mangsa pernah meluahkan rasa takut kepada suaminya yang didakwa mengugut akan membunuhnya," tambah Fajar.
Setakat ini, suspek berjaya diberkas dan disiasat di bawah kesalahan membunuh dengan niat, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara jangka panjang atau hukuman mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan