Wanita saman isteri teman lelaki

Agensi

Beijing: Mahkamah di China memerintahkan wanita yang memuat naik rakaman kamera pengawasan di rumah suaminya dan perempuan simpanan, supaya memadamkan kandungan itu.

Keputusan rayuan kes berkenaan yang mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, dikekalkan Mahkamah Rakyat Pertengahan Bandar Wuzhou, awal bulan ini.

Mahkamah tidak mengarahkan wanita itu membayar pampasan kepada perempuan simpanan terbabit yang dikenali Wang.

Wang memfailkan tuntutan di mahkamah selepas mengesan Li memasang kamera tersembunyi di flat yang dihuni bersama teman lelakinya, Hu yang juga suami Li.

Kamera itu ditemui pada Ogos 2023, dengan rakaman hubungan intim mereka dimuat naik di media sosial oleh Li bersama adik-beradiknya.

Meskipun polis sudah mengarahkan kandungan itu diturunkan, namun keengganan Li menyebabkan Wang memfailkan saman dan menuntut mereka berhenti melanggar privasi, reputasi dan imejnya.

Wang juga meminta semua kandungan bertulis yang berkaitan, foto dan video dikeluarkan daripada internet, selain menuntut permohonan maaf dan pampasan ganti rugi.

Sebelum ini, Mahkamah Daerah Teng memutuskan Li melanggar hak peribadi Wang dan mengarahkannya memadamkan rakaman itu.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wang yang lain atas dasar hubungan sulit Wang dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin melanggar ketenteraman awam dan nilai sosialis selain tiada bukti kerosakan mental yang teruk dialaminya.

Wanita itu kemudian mengemuka rayuan ke Mahkamah Rakyat Pertengahan Bandar Wuzhou yang kemudian mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu.

Sementara itu, Li mempertahankan tindakannya dengan menyatakan dia memasang kamera pengawasan di rumah sewa itu bagi memastikan keselamatan anaknya kerana itu adalah kediaman suaminya.

Dia mendakwa, berkongsi video itu dalam talian kerana berang dengan kecurangan suaminya.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan