Wanita warga emas ditemui meninggal dunia dalam parit

Mohd Roji Kawi

KUCHING : Wanita warga emas ditemui meninggal dunia di dalam parit di Kampung Tunku, Jalan Astana di Petra Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada jam 5.41 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Gita bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, didapati mangsa adalah wanita berusia 82 tahun dan pasukan perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

"Mayat kemudian dirujuk ke Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.

Alexson berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil bagi membantu siasatan.

"Orang awam boleh berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Gita, Asisten Superintendan Syed Zainal Abidin Syed Ali di talian 019-5131156 atau Balai Polis Gita di talian 082-254417 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

"Saya juga menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi menjaga sensitiviti keluarga si mati," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan