Malaysiakini
Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad mendesak Umno negeri menyatakan pendirian sama ada akan bertanding secara tiga penjuru atau dua penjuru melalui gabungan kerajaan perpaduan, pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dzulkefly berkata ia akan memudahkan PH untuk menetapkan hala tujunya.
Menurutnya, Amanah Johor maklum bahawa Umno dan BN memang tidak bersedia untuk berunding bersama PH untuk kelangsungan politik di Johor, khususnya bagi berdepan PRN16.
"Apa yang menjadi pertikaian kami adalah pembentukan kerajaan di negeri ini yang tidak meraikan rakan-rakan dalam PH Johor seperti penjawatanan lantikan politik, sehingga penyokong PH Johor mula bersuara mempertikai berkenaan dengan pembentukan kerajaan di Johor.
"Amanah Johor mendesak agar kerajaan Johor yang dipimpin Umno BN menyatakan pendirian sama ada Pertanding secara tiga penjuru atau dua penjuru melalui gabungan kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Amanah Johor tidak menolak kemungkinan PH akan bertanding di semua kerusi DUN di Johor, tanpa berkerjasama dengan mana-mana parti lain dalam PRN akan datang.
Naib Pengerusi Amanah Johor Zuhan Zain berkata ia adalah antara dua senario yang sedang dipertimbangkan pihaknya dalam merangka strategi menghadapi PRN.
Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros kemudian menyifatkan langkah membangkitkan soal kerusi sebagai tidak wajar dan memualkan, serta tanda Amanah merasa “tidak selamat” berhubung jumlah kerusi yang akan diberikan kepadanya dalam PRN akan datang.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata penglibatan PH Johor penting dalam usaha membangunkan negeri itu.
“Jika Umno dan BN tidak mahu melibatkan PH, maka dari situlah timbulnya cadangan untuk PH tidak bersama dalam PRN16 akan datang.
“Umno-BN seharusnya berjiwa besar dalam menerima teguran, bukan dengan melenting sehingga menuduh dan memperlekehkan rakan-rakan dalam PH yang juga merupakan komponen Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya lagi.
PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya pada awal 2027 apabila tempoh penggal DUN Johor tamat sekitar Mac tahun tersebut.
Rundingan kerusi antara PH dan BN dijangka menjadi cabaran utama, khususnya di Johor yang merupakan kubu tradisi BN.
Walaupun kedua-dua gabungan kini berkongsi kuasa di peringkat persekutuan, kesepakatan di peringkat negeri — khususnya dalam pembahagian kerusi DUN — masih belum dimuktamadkan.
Pada PRN Johor yang lalu, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti PH dengan 13 kerusi dan PN tiga kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan