Anak bekas Presiden Pas dilantik Mufti Wilayah Persekutuan

Harapandaily

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuatkuasa 23 Mei lalu.

Perkara berkenaan disahkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memuatnaik poster ucapan tahniah kepada Ustaz Ahmad Fauwaz atas perlantikan berkenaan.

Beliau menggantikan Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah, 55, yang telah berkhidmat sejak 15 Mei 2020.

Ahmad Fauwaz yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Mohd Noor adalah Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Tokoh ilmuwan Islam berusia 44 tahun dan lahir di Alor Setar, Kedah ini aktif dalam bidang syariah dan dakwah di Malaysia.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya (UM).

Adik kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil ini juga mempunyai Sijil Kemahiran Fatwa dari Dar al-Ifta’, Mesir pada 2008.

Memegang banyak jawatan, Ustaz Ahmad Fauwaz merupakan Timbalan Yang Dipertua Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa cawangan Malaysia.

Turut mengendalikan ruangan “Ustaz Fauwaz Fadzil Jawab” dalam akhbar Mingguan Malaysia, beliau juga adalah Penasihat Syariah di Alliance Islamic Bank Berhad, FWD Takaful Berhad dan Telaga Biru Sdn Bhd.

Tahun lalu, kerajaan melantik beliau untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan