Agensi

SUSPEK, Wahid. FOTO Detik/detikJateng
Solo: Misteri kematian guru besar di Srumbung, Magelang di Indonesia yang sebelum ini disangka disambar petir, terbongkar apabila siasatan mendapati dia dibunuh dengan racun oleh seorang bomoh, ketika ritual ilmu hitam, lapor Detik.
Mangsa yang hanya diperkenalkan dengan inisial, MN berusia 55tahun, Guru Besar Sekolah Rendah Bringin 1, pada awalnya disangka meninggal dunia akibat disambar petir apabila mayatnya ditemukan di Desa Kambangsari, Alian, Kebumen.
Namun, misteri kematiannya terungkai apabila dia dibunuh oleh seorang bomoh dikenali sebagai Wahid, 27, ketika ritual pesugihan (amalan mencari kekayaan secara ghaib melalui ilmu hitam) selepas gagal memenuhi permintaan untuk mencairkan wang ghaib Rp2 bilion (RM519,000).
Wahid, ditangkap dan didedahkan kepada media pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kebumen, AKBP Eka Baasith, menyatakan Wahid membunuh MN, yang juga penduduk Mranggen, Srumbung, dengan memberikan 'air doa' yang dicampur dengan kalium sianida.
"Pelaku (suspek) melakukan ritual pesugihan dan menggunakan air mineral yang dibacakan doa seolah-olah sebagai sebahagian daripada ritual berkenaan, air itu dicampur dengan kalium sianida untuk diminum oleh mangsa sehingga menyebabkan kematian," kata Eka dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kebumen.
Eka menjelaskan pembunuhan itu berlaku di Petilasan Pager Suruh, Desa Kambangsari, Alian, Kebumen, pada 16 Mei, mayat mangsa hanya ditemukan pada 19 Mei lalu dan dan dilaporkan kepada polis pada petang keesokannya.
Eka menjelaskan MN mengenali Wahid pada Mac tahun ini apabila meminta bantuan suspek untuk melakukan ritual pesugihan, namun percubaan pertama dan kedua gagal.
Disebabkan kegagalan tersebut, MN dikatakan marah dan menghina Wahid dengan kata-kata kasar, ketika itulah Wahid merancang untuk membunuh MN kerana sakit hati atas kata-kata itu, menurut Eka.
"Di tempat kejadian, mangsa diminta meminum air yang telah dicampur dengan kalium sianida. Selepas meneguk seperempat botol, mangsa batuk lalu jatuh dan meninggal dunia.
"Untuk menghapuskan jejak, suspek membuang sisa racun dan membawa motosikal serta telefon bimbit milik mangsa, serta membuang dompet mangsa ke dalam saluran pengairan," tambah Eka.
Apabila diberi peluang untuk bercakap, Wahid mengakui dia nekad membunuh MN kerana sakit hati, selain upah yang dijanjikan mangsa selepas ritual tidak dibayar, permintaan mangsa supaya Wahid dapat mencairkan wang Rp2 bilion (RM519,000) dalam satu malam membuatnya berang.
"Mangsa minta cair Rp2 bilion dalam satu malam, saya tidak sanggup," akui Wahid.
"Kami cari pesugihan bersama-sama, sampai yang kedua gagal belum dapat apa-apa. Kemudian dia marah-marah, mengata saya kasar, saya sakit hati.
"Akhirnya saya merancang untuk membunuhnya semasa ritual ketiga. Semasa ritual, saya beri air doa, padahal itu racun. Selepas minum, mangsa jatuh, selepas 10 minit saya tinggalkan," tambahnya.
Sebelumnya, Ketua Dusun Barisan, Desa Mranggen, Agus Priyanto berkata, kejanggalan muncul apabila mayat mangsa ditemukan pada 19 Mei lalu apabila bedah siasat doktor ketika itu memaklumkan MN meninggal dunia kerana disambar petir.
"Yang pertama dibedah siasat oleh doktor itu kena petir. Tetapi, lihat situasi dan keadaan persekitaran seperti tumbuh-tumbuhan, tiada yang hangus, tiada yang terbakar. Kami sangsi," kata Agus, Rabu lalu.
Polis yang menjalankan siasatan membongkar kubur mangsa untuk menjalankan autopsi.
"Saya mengarahkan kepada Ketua Unit Siasatan Jenayah untuk menyelidiki apa yang menjadi punca kematian. Hasil autopsi mendapati adanya organ yang patut disyaki diracun. Kemudian kami melakukan penangkapan terhadap suspek kurang dari 24 jam," kata Eka.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan