Hampir 3,000 Kura-Kura berjaya diseludup dari KLIA: Pelik macamana pihak berkuasa Malaysia bekerja

2 Warga India ditahan bersama Hampir 3,000 Kura-Kura diseludup dari KLIA

Alang Bendahara

Di sebalik pelbagai amaran daripada pihak berkuasa, KLIA terus menjadi tempat buat penyeludup membawa keluar hidupan liar dari malaysia, terutama ke India.

Semalam, pihak kastam India menahan dua warga negara itu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda di Bengaluru, India, melalui penerbangan IndiGo 6E-1038 dari KLIA pada jam 10.59 malam.

Dua lelaki itu dikenal pasti sebagai Gopinath Manivelan dan Sudhakar Govindasamy, menurut satu dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini.

Pemeriksaan ke atas bagasi milik Gopinath menemui 1,672 ekor kura-kura red-eared slider, manakala bagasi Sudhakar mengandungi 1,280 ekor kura-kura spesies sama.

Pihak kastam memaklumkan haiwan-haiwan tersebut masih hidup dan telah dihantar pulang ke Malaysia dengan penerbangan seterusnya.

Kedua-duanya ditahan oleh pihak berkuasa di sana kerana membawa masuk hidupan liar ke negara itu tanpa permit sah.

Bulan lalu, dua lelaki warga India telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana cuba menyeludup hidupan liar dalam bagasi mereka di pintu pelepasan KLIA ketika menuju ke India; kedua-duanya melakukan kesalahan tersebut secara berasingan dan kemudiannya didakwa di mahkamah.

Kedua-dua suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang dan diwakili peguam yang sama.

KLIA jadi hab penyeludupan hidupan liar

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berulang kali memberi amaran agar tidak menyimpan haiwan liar secara tidak sah atau terlibat dalam jenayah hidupan liar, dan menyeru mereka yang terlibat agar menghentikan aktiviti tersebut atau berdepan tindakan tegas.

Orang awam boleh membantu usaha penguatkuasaan terhadap aktiviti perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dengan menghubungi hotline Perhilitan di 1800-88-5151 atau melalui laman webnya.

Malaysia kini dianggap sebagai salah satu pusat transit utama bagi penyeludupan haiwan terancam ke bahagian lain di Asia.

Pada bulan lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam - yang menyelia Perhilitan - memaklumkan sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka berkaitan aktiviti penyeludupan hidupan liar di KLIA dari2023 hingga April 2025.

Menurut kementerian itu, kes-kes tersebut melibatkan penyeludupan spesies eksotik dan tempatan termasuk kura-kura, ular, burung dan primat.

Individu atau sindiket yang terlibat dalam penyeludupan hidupan liar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga 15 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada Mac lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegur Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung peningkatan kes penyeludupan hidupan liar keluar dari negara.

Loke menyifatkannya sebagai isu serius dan mendesak agar MAHB mengambil tindakan segera untuk menanganinya.

Bagasi daftar masuk adalah di bawah bidang kuasa perkhidmatan pengendalian bagasi MAHB, bukan Jabatan Kastam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan