Jawatan menteri serah pada Anwar dan Zahid kata Tengku Zafrul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tengku Zafrul Aziz menyerahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menentukan kedudukannya sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri selepas beliau keluar dari Umno.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji, lapor Bernama.

“Saya ingin memberi fokus kepada ibadah haji dan saya serahkan segala urusan itu kepada kebijaksanaan perdana menteri dan presiden Umno,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, ketua bahagian Kota Raja dan ahli Umno.

Tengku Zafrul berkata beliau telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.

Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menggesa Tengku Zafrul Aziz turut meletak jawatan sebagai menteri.

Terdahulu hari ini, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap kuota tujuh menteri penuh dapat dikembalikan semula kepada mereka susulan tindakan Tengku Zafrul Aziz keluar parti.

Zahid berkata ini kerana parti itu diwakili tujuh menteri sebelum ini dan hanya tinggal enam selepas Tengku Zafrul meninggalkan Umno.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata keputusan meninggalkan Umno dan menyertai PKR diambil hasil pertimbangan mendalam dan sepenuhnya yang datang daripada dirinya sendiri, tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam. Saya menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dalam memilih hala tuju politik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada presiden Umno serta rakan-rakan dan ahli-ahli Umno yang telah banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam Umno,” katanya

Beliau turut memohon agar diberikan ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rukun Islam kelima itu bersama keluarganya, di samping memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan sepanjang hubungan persahabatan beliau dengan pelbagai pihak.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan