Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Anggota bomba bersama pasukan penguatkuasa JAHEAIK di lokasi sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu dalam kejadian membabitkan cubaan seorang lelaki berusia 30-an ingin terjun dari balkoni tingkat 19 selepas diserbu ketika berdua-duaan bersama pasangan. FOTO IHSAN BOMBA
Kota Bharu: Terkejut dengan serbuan pihak berkuasa, seorang lelaki bertindak melarikan diri sehingga ke balkoni sebuah pangsapuri Jalan Sultan Ibrahim di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lelaki terbabit berdua-duaan bersama pasangannya dalam sebuah unit pangsapuri di tingkat 19 itu sebelum premis terbabit diserbu penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Akibat panik, lelaki berusia 30-an itu cuba melarikan diri sehingga ke balkoni dan nekad untuk terjun sehingga pihak berkuasa terpaksa menghubungi pasukan bomba.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Mohd Roziman Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 pagi bagi penugasan tugas khas itu.
"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati lelaki terbabit berada di balkoni tingkat 19 pangsapuri dan pihak JAHEAIK cuba untuk memujuknya.
"Lelaki itu dikatakan nekad untuk terjun namun lebih setengah kemudian dia berjaya dipujuk dan diserahkan kepada JAHEAIK untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan