Kelantan: PGA tahan 11 PATI kerja di lombong bijih besi

Nor Fazlina Abdul Rahim
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, tengahari semalam.- Foto ihsan PGA
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, tengahari semalam.- Foto ihsan PGA
KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, tengah hari semalam.

Tangkapan dilakukan Batalion 8 pada jam 1.30 tengah hari itu menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ketika serbuan dilakukan, tujuh lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga Indonesia sedang bekerja di lombong berkenaan.

Katanya, seorang daripadanya tiada permit kerja, manakala empat lagi sudah tamat tempoh permit kerja dan selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri masuk ke Malaysia secara sah.

"Semua suspek ditahan mengikut Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga Thailand yang cuba memasuki Kelantan menggunakan bot di pangkalan haram di sini selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Rantau Panjang petang semalam.

Katanya, tangkapan dilakukan Batalion 9 pada jam 4.10 petang itu mendapati semua suspek cuba masuk ke Malaysia secara haram.

"Pemandu bot melarikan diri dan meninggalkan penumpangnya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 5(2) serta 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan