Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my

KEJADIAN tanah runtuh di KM 27 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk. FOTO Ihsan PDRM
Gua Musang: Kejadian tebing runtuh di Kilometer (KM) 27 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk, di sini, menyebabkan laluan terbabit tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7.30 malam tadi.
Katanya, sehingga kini laluan terbabit masih tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan dan anggotanya sedang mengawal lalu lintas.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memaklumkan kepada pihak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) mengenai kejadian yang menyebabkan berlaku kesesakan sehingga dua kilometer.
"Kejadian berlaku berpunca dari cuaca hujan lebat dan tiada kemalangan jiwa serta kerosakan dilaporkan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, pemantauan dilakukan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
"Tidak dapat dijangkakan bila laluan terbabit boleh dilalui kerana ia bergantung kepada seberapa cepat bantuan sampai untuk pembersihan.
"Tiada jalan alternatif boleh dilalui pengguna jalan raya terbabit dan pengguna jalan itu diminta bersabar sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan