Lelaki maut ditikam di ladang kelapa sawit, cemburu jadi punca

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Taiping: Akibat cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian di ladang kelapa sawit di Simpang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata suspek berjaya ditahan pada jam 11 pagi hari ini di kawasan perumahan di Aulong.

Menurutnya, sekitar jam 2.55 petang semalam polis menerima laporan dari orang awam yang menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di sebuah ladang kelapa sawit di Simpang.

"Siasatan mendapati mangsa berusia 20 tahun dan berkerja sebagai pembantu kedai makan.

"Susulan aduan itu polis berjaya menangkap suspek berusia 40 tahun dan turut menemukan pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai empat rekod jenayah lampau. Suspek di bawa ke mahkamah esok bagi proses permohonan reman," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi siasatan awal pihaknya mendapati motif kejadian kerana perasaan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan