Merokok kawasan larangan: Dua pengawal keselamatan ditahan polis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas

Pak 'guard' tolak pembantu kesihatan, koyak notis kesalahan merokok ditahan polis

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular seorang daripada dua pengawal keselamatan yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas. FOTO Ihsan Polis.
TANGKAP layar video tular seorang daripada dua pengawal keselamatan yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas. FOTO Ihsan Polis.
Sungai Petani: Dua pengawal keselamatan ditahan polis kerana menolak dan mengoyak notis diberikan seorang pembantu kesihatan kerana kesalahan merokok di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penjawat awam terbabit serta pasukannya melakukan operasi penguatkuasaan Anti Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (AKPMDKA) di lokasi berkenaan, pada 5.20 petang.

Beliau berkata, mereka menahan seorang pengawal keselamatan kerana menghisap rokok dalam premis berkenaan.

"Pengadu memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa kesihatan bersama lima saksi dan meminta puntung rokok berkenaan serta butir pengenalan diri daripada lelaki itu.

"Ia bertujuan untuk mengeluarkan notis kepada lelaki itu di bawah APMDKA 2024.

"Lelaki berkenaan memberi kad pengenalan diri, namun selepas menjelaskan kesalahan dilakukannya, lelaki itu meninggikan suara dan berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan lelaki terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, kejadian itu menyebabkan rakan lelaki itu yang juga pengawal keselamatan menolak badan pengadu dan meninggikan suaranya kerana tidak berpuas hati.

Katanya, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi itu namun terdapat rakaman video kejadian oleh salah seorang saksi.

"Kedua-dua pengawal keselamatan berusia 52 dan 42 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan dan siasatan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, keduanya-duanya negatif dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Tiada sebarang senjata digunakan kedua tangkapan itu dan tiada kecederaan dialami pengadu.

"Kejadian itu dipercayai kerana dua pengawal keselamatan itu tidak puas hati kerana seorang daripadanya menerima notis kerana merokok di tempat awam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan