Agensi

Orang ramai yang memakai penutup kepala untuk berlindung daripada cahaya matahari melintas jalan ketika keadaan gelombang haba di Beijing pada 19 Julai 2023. FOTO AFP
Beijing: Terlalu takut kulit menjadi gelap, seorang wanita di China mempunyai amalan melampau untuk mengelak matahari termasuk mengenakan pakaian perlindungan dan memakai krim pelindung matahari setiap kali keluar rumah.
Namun kegilaannya mahu mengekalkan kulit cerah membawa mudarat apabila dia menderita osteoporosis teruk hingga menyebabkan tulangnya patah hanya kerana beralih baring di atas katil.
Wanita berusia 48 tahun dari Chengdu itu dikatakan mengelak daripada terkena cahaya matahari selama bertahun-tahun, menurut laporan South China Morning Post (SCMP).
Sejak kecil, dia mengenakan pakaian perlindungan dan memakai krim pelindung matahari setiap kali keluar rumah demi mengekalkan kulit cerah.
Akibatnya, tahap vitamin D dalam tubuhnya menjadi terlalu rendah sehingga menyebabkan tulangnya menjadi rapuh.
Pakar di Hospital Perubatan Tradisional Cina XinDu, Dr Long Shuang berkata wanita itu mengalami patah tulang rusuk hanya kerana berpusing ketika tidur.
Malah, Dr Long mendedahkan, tulang wanita itu dikatakan terlalu lemah hingga pergerakan biasa pun boleh menyebabkan patah.
Beliau berkata, wanita itu sejak masih kecil sudah memulakan amalan melampau mengelak cahaya matahari.
"Ia berpunca daripada standard kecantikan di China yang terlalu mengagungkan berkulit cerah," katanya.
Tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu atau keluarganya pernah mendapatkan nasihat perubatan mengenai tabiat itu, namun kesan jangka panjang mula nampak ketara selepas mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital.
Ujian mendapati kandungan vitamin D dalam tubuh wanita itu berada pada paras kritikal, sekali gus mempercepatkan kehilangan jisim tulang dan menyebabkan osteoporosis yang serius.
Pakar Bedah Tulang Belakang di Hospital Universiti Perubatan Guangzhou, Dr Jiang Xiaobing, memberi amaran bahawa tindakan melampau mengelak cahaya matahari sebenarnya membahayakan.
Beliau berkata, cahaya matahari penting dalam penghasilan vitamin D yang memainkan peranan utama dalam penyerapan kalsium dan kesihatan tulang.
"Kini, sudah biasa kita lihat orang berpakaian lengkap dari hujung rambut ke hujung kaki semata-mata untuk lindungi kulit daripada matahari. Ini sebenarnya tidak sihat.
"Semua tulang dalam tubuh akan diperbaharui setiap 10 tahun. Tetapi sebaik usia mencecah 30 tahun, kita mula kehilangan jisim tulang antara 0.5 hingga satu peratus setiap tahun," katanya.
Tambahnya lagi, kurang kalsium, tidak cukup cahaya matahari, dan kekurangan vitamin D akan menjejaskan penyerapan kalsium dalam badan.
"Gaya hidup tidak aktif, merokok dan pengambilan alkohol berlebihan turut menyumbang kepada masalah tulang rapuh. Jadi penting untuk kita cukupkan pengambilan kalsium, bersenam dan hadkan pengambilan alkohol. Misalnya, tidak lebih dua tin bir sehari jika kandungan alkohol lima peratus.
"Wanita menopaus pula perlu lebih berhati-hati kerana mereka lebih mudah alami kehilangan jisim tulang," katanya.
Membimbangkan apabila trend keterlaluan melindungi diri daripada matahari kini semakin popular di China terutama dalam kalangan wanita yang sanggup memakai selubung kepala, sarung tangan, pakaian kalis UV dan pelindung muka demi mengelak sinaran matahari.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan