Pemilihan PKR: Ucapan selamat tinggal Rafizi

Hishamuddin Aun

Menteri ekonomi akur dengan kekalahan jika sistem pengundian sudah menetapkan demikian.

Sejurus tamat ucapan terakhirnya dalam Jelajah Hiruk Johor pada Selasa malam, mereka yang hadir tidak segera bersurai. Diminta untuk bergambar dengan Rafizi Ramli, mereka berpusu-pusu ke hadapan pentas, seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang kerana tidak tahu bilakah atau adakah lagi kesempatan untuk mereka berbuat demikian.

Diminta pengacara majlis untuk melaungkan ‘Reformasi’ sekali lagi untuk rakaman video bersama penyokong di dewan Hotel New York, Johor Bahru, penyandang timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sekadar merungut “malam-malam buta orang nak tidur pun kena jerit lagi” ketika jam hampir menunjukkan tepat 12.00 tengah malam tapi tetap menurutkan kemahuan mereka.

Berat benar untuk penyokong berpisah dengannya selepas Rafizi — di penghujung ceramah dalam Jelajah Hiruk yang berlangsung lapan peringkat sejak di Negeri Sembilan pada 11 Mei — sekali lagi menyimpulkan beliau tidak akan menang perebutan jawatan nombor dua parti dengan puteri sulung perdana menteri Nurul Izzah Anwar dalam pengundian esok.

“Kalau betul nak kerat saya, cakaplah… Ini depan cakap lain belakang cakap lain, umum cakap lain atur lain. Apa benda ni? Cakap la, saya dah offer awal-awal (untuk tidak pertahan jawatan),” katanya dalam ucapannya yang dilihat ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR serta pimpinan dalam ‘Kem Presiden’.

Anwar dalam ulasannya di Langkawi pada Isnin berkata beliau memberi sokongan kepada semua calon yang bertanding kerana semua mereka didapati layak, namun jawatan yang diperuntukkan adalah terhad, menyebabkan ahli perlu memilih.

“Kalau saya ada dua tempat untuk timbalan presiden misalnya, dua-dua saya sokong. Kalau ada 11 tempat naib presiden, semua saya sokong. Kalau kita lihat semua mereka, rekodnya baik tapi kalau kita tak pilih, janganlah rendahkan martabat orang lain, ini disebut adab dan akhlak dalam perjuangan,” katanya.

Rafizi, yang harus maklum dengan komen perdana menteri, menawarkan pandangannya yang agak berlainan: “Kalau kerat saya saja tak ada masalah, saya dah bagitau Datuk Seri Anwar Ibrahim saya sangat gembira untuk tidak bertanding, saya bagitau kat Saifuddin. Cuma kalau saya tak bertanding, tak ada jawatan, saya tak nak la jadi menteri, itu bukan budaya dan prinsip kita,” tambahnya.

Menteri ekonomi itu sebelum ini mendedahkan ketika cuti singkatnya penghujung bulan lalu, beliau ada menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding dan meletak jawatan Kabinet dalam pertemuannya secara berasingan dengan Anwar dan setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail. Kedua-duanya bagaimanapun menasihatkan bahawa ada keperluan untuk beliau bertanding.

“Tapi oleh kerana mereka takut kalau begitu nanti orang marah, jadi dia kena susun, kerat ketua cabang kat bawah ni supaya dia boleh control ketua-ketua cabang walaupun ketua cabang itu tidak mewakili pun undi di bawah. Supaya kemudian kononnya dia boleh bina, keluar kenyataan beramai-ramai kami menolak Rafizi (dan) menyokong Izzah… daripada cabang kepada negeri kepada menteri.

“Kalau dia tak buat semua itu tak potong kepala cabang ni, saya dengan gembira (tak bertanding), tak ada la Hiruk ni. Tapi bila potong yang di bawah sehingga permainan itu melibatkan sistem (pengundian) — benda mudah kita minta bukak undi, banding yang orang undi akan keluar sama — yang itu pun kamu tak boleh buat, sampai sekarang ini ‘screen recording’ pun diharamkan, ini apa punya kerja ni,” soalnya.

Rafizi sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati dengan fenomena ‘kepala tanpa badan’ yang berlaku ketika pemilihan peringkat cabang dari 11-20 April lalu hingga ramai ketua cabang dalam kalangan penyokongnya kalah pemilihan tetapi jawatan timbalan ketua cabang hingga ke ahli jawatankuasa semuanya dimenangi orang dari kem ketua cabang yang kalah itu.

“Saya rasa puas hati sangat kerana dalam tempoh tiga minggu berkempen ini, saya rasa rakyat di luar yang menonton, yang hadir faham sebenarnya inilah yang kita perjuangkan, bukan soal menang kalah. Akhir-akhir ini satu pun benda tak dijawab dah. Kalau jawab pun fasal sistem, Fuziah (Salleh — setiausaha agung) jawab Zaliha (Mustafa — pengerusi jawatankuasa pemilihan) jawab, makin jawab makin tak menjawab.

“Saya tak terfikir kawan-kawan ni, kamu boleh buat macam ini. Kita kan parti Keadilan parti reformis. Tak kisah la orang kat bawah tu sokong siapa, jangan tipu dia. Tak baik tipu orang, kalau menang menang la, kalau kalah la.

“Saya berdoa janganlah buat benda-benda tak betul, sebab itu kita kena terus bersuara. Saya ingat kalau fikir balik la kalau aku bergaduh ketuk meja baling kerusi dari awal, mungkin tak sampai begini jadinya. Kawan-kawan kat bawah yang dok kutip orang dok berkempen pergi ketuk pintu, lepas tu kau tipu dia. Yang itu saya tak boleh terima sebab kesian kat diorang,” katanya.

Jika sebelum ini Rafizi mengandaikan dunia akan kiamat jika beliau menang, kali ini beliau membayangkan mungkin mengalami serangan jantung jika itu berlaku dalam keadaan yang didakwanya semua sudah diatur untuk Izzah mendapat kemenangan.

“Saya dari hari pertama sebut kepada kawan-kawan bahawa kita masuk ini bukan untuk menang jawatan. Kalau ini kehendak-Nya bahawa ini adalah pimpinan yang nak ditetapkan, silalah saya tak ada masalah. Kita akan berundur secara terhormat dengan bermaruah tapi jangan sekali-kali tukar cerita dan tabur benda yang tak betul.

“Kita hanya menyuarakan perkara yang berlaku sebenarnya, selebihnya itu terpulang kepada perwakilan dan akhirnya dalam tempoh dua tahun akan datang terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi mungkin menaruh sedikit harapan untuk ‘keajaiban’ berlaku di sebalik mengakui beliau sendiri tidak dapat pastikan bagaimana ia boleh membawa kepada kemungkinan itu.

“Mengikut keputusan pemilihan cabang setakat ini, sebenarnya kelebihan perwakilan itu berada di pihak saya. Saya sepatutnya tak ada masalah untuk menang sebab yang kena kerat itu hanya kepala, AJK semua tu masih lagi menang. Dan AJK yang menang tu jugak, oleh kerana undi dia besar – 40%, 45%, 35% – dia masih lagi perwakilan tambahan, itu masih lagi dia dapat.

“Jadi tekaan kita di setiap cabang majoriti sebenarnya, sepatutnya saya tidak ada masalah untuk menang timbalan presiden, itu saya cakap terus terang. Sama jugak bila kita berkempen, kalau tengok komen-komen di media sosial 80%, 90% semua berpihak kepada saya. Bila kita hantar WhatsApp semua, saya boleh kata majoriti lebih 60% adalah positif kepada perwakilan. Jadi saya tak ada masalah.

“Masalahnya sistem (pengundian). Jadi itu, masuk (undi) A keluar B, tak apalah kiamat ikut suka korang lah keluarlah nama siapa-siapa. Saya pernah bergurau dengan Saifuddin kalau sistem macam ini baik jangan siapa-siapa masuk bertanding calon timbalan presiden kerana bila umum saja sistem telah meletakkan akan ada nama keluar kat situ walaupun tak ada orang bertanding. Jadi yang itu kita serahkan kpd Allah, itu semua dah ditetapkan dengan elok.

“Saya rasa parti kita berada di persimpangan, kita sekarang berada di tempat kita atas jasa kawan-kawan yang keras, yang jujur dari dulu-dulu yang ada dalam parti kita. Sebab itu kalau saya tegur, janganlah kecik hati, janganlah hati tisu sangat. Jadi sekarang ini ikut suka diorang, kami dah pasrah lama.

“Kalau ini kehendak-Nya bahawa ini adalah pimpinan yang nak ditetapkan, silalah saya tak ada masalah. Kita akan berundur secara terhormat dengan bermaruah.

“Saya hanya nak tutup dengan mengucapkan jutaan terima kasih daripada saya dan jugak kawan-kawan dan keluarga kami kerana anda memang yang terbaik — sangat setia, sangat jelas, sangat berani — dan andalah masa depan dan akar parti ini.

“Yang itu menyejukkan dan menenangkan hati saya walau apa pun keputusan. Insya-Allah parti ini akan terus segar-bugar kalau lebih ramai anggota parti kita seperti anda,” katanya.

Mungkin sudah tiba masanya Izzah dijulang sebagai ratu di mata majoriti penyokong PKR tetapi Rafizi akan terus bersultan di hati khalayak selainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan