Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah rumah dekat Pasir Gudang, malam tadi.
Tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 50 tahun itu dibuat kira-kira jam 8.30 malam tadi oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, penahanan dibuat bagi siasatan di bawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.
"Penceramah ini memberi ceramah dengan jemaah serta siaran langsung di media sosial. Rumah itu adalah kediaman individu lain yang dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas Maghrib dan Subuh.
"Ketika tangkapan dibuat, ada beberapa orang yang sedang mendengar ceramahnya di rumah itu, selain siaran langsung di Facebook (FB) dan Youtube, tetapi video sudah dipadam.
"Sekarang penceramah ini masih dalam siasatan kita," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, perbuatan mengajar tanpa tauliah membabitkan penceramah itu adalah antara aduan yang telah dibawa dalam makluman mesyuarat ahli majlis bulan Mei ini dan terdapat arahan serta keputusan Jawatankuasa Tauliah bagi JAINJ mengambil tindakan.
"Mengikut rekod, pada 2016, penceramah ini pernah ditahan atas kesalahan sama. Tahun 2020, jabatan ada buat serbuan juga, tetapi dia berjaya lepaskan diri ketika majlis ceramah beliau. Ini kali ketiga tindakan dibuat ke atasnya atas kesalahan tidak ada kebenaran tauliah mengajar," jelasnya.
Pada masa sama, Nasri berharap supaya sesiapa yang hendak menyampaikan dakwah di Johor mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.
"Sama seperti negeri lain yang mewajibkan penganjur atau pendakwah mendapatkan kebenaran tauliah dari terlebih dahulu.," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan