‘Polis’ di sebalik penculikan Pamela Ling? Hariz Mohd

Hariz Mohd 

Pamela Ling, wanita yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM bulan lalu, didakwa diculik oleh individu yang memakai pakaian seragam polis.

Dakwaan ini dibuat oleh peguamnya, N Sivananthan yang berkata dia telah melihat laporan polis yang dibuat oleh pemandu Grab yang membawa Ling.

“Berdasarkan laporan polis, pemandu Grab itu kata keretanya telah dihalang ketika mereka hampir tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Dia telah melepasi Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat SPRM, apabila tiga buah kereta – dua daripadanya berwarna biru gelap dan putih – menghentikan keretanya.

“Dua individu – seorang lelaki memakai ves polis dan seorang wanita berpakaian seragam polis – kemudian meminta Pamela untuk ikut mereka.

“Mereka juga ambil kad pengenalan (MyKad) pemandu Grab itu. Pemandu tersebut kemudian terus ke Balai Polis Presint 7 dan membuat laporan,” kata Sivananthan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berhubung dakwaan ini. Dia enggan mengulas lanjut kecuali menyatakan kes tersebut sedang “dalam tindakan”.

Tedahulu, Ling dilaporkan sedang dalam perjalanan untuk berjumpa penyiasat SPRM pada 9 April lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram, namun diculik sebelum sempat tiba.

Polis mengesahkan insiden tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda bagi kesalahan menculik atau melarikan orang.

Semalam, SPRM dalam kenyataan mengesahkan Ling sedang membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram.

Suruhanjaya itu juga berkata pihaknya menyerahkan kes kehilangan Ling kepada pihak polis.

Bagaimana SPRM urus risiko?
Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili abang dan bapa Ling, mempersoalkan jika SPRM telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan mangsa.

Dengan pengesahan SPRM bahawa Ling sedang membantu siasatanya, Sangeet berkata mangsa mungkin memiliki maklumat sensitif yang boleh mendedahkannya kepada risiko.

“Soalan yang perlu ditanya – adakah SPRM sedar tentang risiko ini, dan adakah mereka memaklumkan kepada polis seawal mungkin, supaya siasatan yang sesuai dapat dijalankan?” katanya dalam kenyataan.

Merujuk kepada penculikan itu, Sangeet berkata ia menunjukkan bahawa Ling mungkin telah diekori atau ada pihak yang sudah tahu dia akan berjumpa penyiasat SPRM.

“Ini menimbulkan kebimbangan yang serius. Adakah SPRM sudah menjangka atau mengesan sebarang risiko? Adakah maklumat penting ini dikongsi dengan polis dari awal untuk membantu mengesan pihak yang terlibat?” soalnya lagi.

Peguam itu turut mempersoalkan jika SPRM telah membuat laporan polis mengenai kehilangan Ling.

Berhubung siasatan polis terhadap penculikan itu, Sangeet menggesa pihak polis menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil setelah menerima maklumat berhubung insiden tersebut.

Dia berkata kenyataan polis bahawa mereka tiada sebarang tunjuk adalah “tidak boleh diterima sama sekali”, terutama memandangkan penglibatan mangsa dalam siasatan berkaitan pengubahan wang haram.

“Keluarga Pamela sentiasa bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan terus memberikan segala maklumat yang mereka ada. Mereka telus dan proaktif.

“Perkara yang sama juga diharapkan daripada SPRM dan polis,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan