Rafizi: Ramai masuk PKR kejar jawatan, jatuhkan ‘orang lama’

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Rafizi Ramli mendakwa PKR kini berada dalam fasa ujian kuasa selepas berjaya membentuk kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan presiden PKR itu berkata, ramai yang berpusu-pusu menyertai parti demi mengejar jawatan dan kuasa, sehingga wujud gerakan yang cuba menjatuhkan ‘orang lama’ yang telah lama berjuang.

“Semasa kita susah, orang tidak mahu bersama. Itulah orang lama seperti saya, Aminuddin Harun dan Nik Nazmi Nik Ahmad, kami sudah melalui proses ini.

“Tetapi selepas berkuasa pada 2022, berlaku lambakan anggota yang masuk, merebut jawatan dan kuasa, hingga ada gerakan tertentu cuba menjatuhkan orang lama untuk memenangkan pemimpin tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam siri pertama Jelajah Hiruk Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Seremban sempena pemilihan PKR, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua individu yang bertanding tidak terlalu ghairah termasuk bertelingkah sesama sendiri hingga hilang fokus matlamat asal untuk memastikan parti menang PRU16.

Katanya, pemilihan kali ini penting kerana PKR tidak boleh merancang kepimpinan parti dengan beranggapan akan menjadi kerajaan sampai bila-bila.

“Kita sebenarnya berada jauh lagi untuk berasa yakin dapat sambung penggal kedua Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Kita mesti merancang kepimpinan parti dengan keadaan luar jangka, jika PRU datang, kita kalah, bagaimana?,” katanya.

Pada pemilihan pada 23 Mei ini, Rafizi akan dicabar bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah bagi jawatan nombor dua PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan